usai membaca buku 'Engkau Memang Cantik', saya beroleh sesuatu kefahaman baru untuk lebih menjiwai watak sebagai seorang muslimah. mengikut kefahaman saya, muslimah sejati adalah seorang hawa yang indah lagi solehah.
definisi indah itu bukanlah dari segi fizikal semata-mata, tetapi turut mencakupi akhlak dan peribadi wanita tersebut. namun, indah sahaja tidak cukup jika hatinya tiada beriman kepada Allah. beriman sahaja pula tidak cukup, jika dia tidak mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
seorang muslimah sejati, penampilannya dijaga. namun, sekadar sederhana. tidak dia berlebih-lebihan dalam menghias diri, sehingga membawa kepada tabarruj. namun, dalam kesederhanaan itu, insan-insan sekeliling menyenanginya kerana ada keindahan yang khusus terpalit pada wajahnya. ada nur solehah yang terpancar pada wajahnya. dan nur itu berkuasa mengindahkan paras wajahnya melebihi setiap alat kosmetik yang ada dijual di pasaran.
begitu juga dalam aspek pemakaian. auratnya terpelihara. tidak sengaja dia menampakkan auratnya kepada mana-mana ajnabi kerana bagi seorang muslimah yang sejati, kecantikan dirinya biar sahaja diketahui suami dan Ilahi. seorang muslimah yang sejati punya harga diri dan martabat yang tinggi. tidak akan sesekali dia berpakaian yang menampakkan aurat kerana dia tahu pakaian sebegitu cuma akan merendahkan martabatnya pada pandangan Allah meskipun dipandang tinggi oleh manusia. meski dalam keadaan yang tertutup, muslimah sejati masih tetap tampak anggun dalam busananya lewat setiap gerilaku dan atur langkahnya yang penuh kelembutan dan kesopanan.
muslimah sejati juga indah hatinya. tiada riak atau hasad di hatinya. segala perbuatan yang dilakukan olehnya diniatkan Lillahi ta'ala. tiada dia hidup untuk mencari pujian manusia. tiada dia hidup untuk mengejar indahnya dunia. muslimah sejati hidupnya semata untuk mencapai redha Allah demi mandapatkan syurga-Nya di akhirat nanti.
muslimah sejati haruslah solehah. ibadahnya dijaga dengan sebaik mungkin. yang wajib dikerjakan sesempurnanya. dan yang sunat diperbanyakkan semampunya. akhlaknya persis bidadari dunia. indah dipandangan mata dan mampu menyentuh hati-hati insan lain untuk mencontohinya.
itulah perwatakan muslimah sejati di pentas dunia. INDAH LAGI SOLEHAH. :)
